Wednesday, May 10, 2006

BUKU TEKS UNTUK SEMUA

KEPALA BATAS 5 Feb. - Semua pelajar sekolah di negara ini tanpa mengira status dan kedudukan kewangan keluarga mereka akan menikmati Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) secara automatik pada tahun 2008.

Sehubungan itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, melalui pelaksanaan tersebut semua pelajar tidak perlu lagi melalui prosedur ketat termasuk menyertakan butir-butir kewangan keluarga bagi mendapatkan skim berkenaan.

Katanya, kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkan dana yang mencukupi bagi meluaskan kemudahan itu kepada semua pelajar tanpa dibelenggu sebarang masalah terutama yang membabitkan soal birokrasi.

``Setakat ini kerajaan sudah memberikan kemudahan SPBT kepada lebih 80 hingga 90 peratus pelajar termasuk anak-anak guru yang menikmatinya secara automatik bermula tahun ini.

``Apa salahnya kalau kita luaskan kemudahan ini kepada baki 10 peratus yang tidak mendapatnya. Apa yang penting kita perlu pastikan tiada pelajar terpinggir daripada menerima kemudahan tersebut,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Gemilang 2020 anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Kepala Batas dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Pulau Pinang di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini hari ini. Turut hadir, Setiausaha Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim; Ketua Pemuda UMNO Kepala Batas, Ahmad Darus; Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Salleh Karim dan beberapa anggota Exco pergerakan itu.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan sebanyak 70,000 anak guru di seluruh negara akan menerima kemudahan SPBT, mulai sesi persekolahan tahun ini. Kos pemberian SPBT kepada anak guru membabitkan perbelanjaan tambahan kementerian tersebut sebanyak RM18.7 juta manakala anggaran purata perbelanjaan tahunan adalah RM200 juta untuk kira-kira 20 juta naskhah buku teks setahun.

Hishammuddin memberitahu, kementerian itu akan mengumumkan jumlah sebenar peruntukan yang diperlukan bagi melaksanakan sepenuhnya peluasan kemudahan SPBT tidak lama lagi. Jelasnya, dasar untuk meluaskan manfaat SPBT kepada semua pelajar bertujuan untuk memastikan mereka dapat menikmati akses pembelajaran yang sempurna tanpa dibelenggu masalah kesukaran bagi mendapat kemudahan itu.

``Atas kesedaran inilah kerajaan mahu pastikan semua pelajar dapat menikmati akses pembelajaran sejajar dengan hasrat untuk menyediakan kemudahan terbaik bagi semua pelajar,'' jelasnya.

PEMBANGUNAN PENDIDIKAN DINILAI SETIAP TAHUN

TAWAU 16 April - Kementerian Pelajaran akan menilai pelaksanaan pelbagai program pembangunan pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) setiap tahun bagi memaksimumkan keberkesanannya.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penilaian setiap tahun penting bagi memastikan sebarang kelemahan yang wujud dapat segera diperbaiki.

Menurut beliau, kementerian tidak mahu berlaku projek pembangunan pendidikan terbengkalai dan gagal begitu sahaja tetapi hanya menyedarinya apabila RMK-9 hampir berakhir menjelang tahun 2010.

``Kita tidak mahu mengulangi kesilapan lalu di mana apabila RMK-8 hampir berakhir baru timbul pelbagai projek yang gagal disiapkan. Kita tidak mahu menunggu lima tahun untuk perbaiki kelemahan.

``Dalam hal ini, menjadi peranan kerajaan negeri termasuk di peringkat daerah menentukan keperluan pendidikan di tempat mereka dan kementerian membuka ruang seluasnya kepada pucuk pimpinan negeri menentukan pendekatan yang akan diambil,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Memperkasa Pendidikan Bumiputera Tawau anjuran UMNO Bahagian Tawau di Dewan Masyarakat Tawau di sini, hari ini. Ketua Pemuda UMNO itu berkata, adalah menjadi kebimbangannya jika terdapat projek pembangunan pendidikan gagal dilaksanakan serta tidak sampai kepada sasaran.

Sehubungan itu beliau meminta supaya pemimpin masyarakat khususnya di kalangan Pemuda UMNO agar lebih aktif menyalurkan maklumat kepada kementerian mengenai perkembangan semasa pendidikan di kawasan masing-masing.
Malah beliau meminta supaya Pemuda turut bergiat lebih aktif dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai salah satu pendekatan memahami masalah yang berlaku dalam sesebuah sekolah.

Beliau berkata, seruan itu bukan bermakna Pemuda perlu merebut kuasa atau jawatan tertinggi tetapi cukup dengan melibatkan diri dalam mesyuarat berkaitan hala tuju sekolah agar mereka dapat memainkan peranan lebih berkesan.

``Jangan biarkan PIBG dengan masalah mereka, tetapi kita turut serta supaya dapat menyalurkan maklumat mengenai masalah yang timbul kepada kementerian dengan lebih berkesan untuk diambil tindakan lanjut,'' ujar beliau.

Menyentuh perkara lain, beliau berkata, kementerian menyerahkan kepada pemimpin dan penduduk setempat untuk memutuskan masa depan serta kedudukan sekolah-sekolah kurang murid yang terdapat di negara ini.

Beliau berkata, oleh kerana tumpuan kementerian khususnya dalam RMK-9 ini adalah untuk membina sekolah-sekolah baru dan kemudahan infrastruktur seperti asrama, masalah sekolah kurang murid itu sewajarnya diselesaikan mengikut cara setempat.

JELASKAN ISU JAMBATAN KEPADA AKAR UMBI

KUALA LUMPUR 18 April - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu semua Ketua Pemuda UMNO negeri memberi penjelasan kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi berhubung keputusan kerajaan membatalkan pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.

Beliau berkata, penjelasan itu penting bagi mengelak penyebaran cerita tidak tepat oleh pihak tertentu. Katanya, Pemuda UMNO menyokong keputusan yang diambil oleh kerajaan setelah mengambil kira implikasi yang mungkin dihadapi seperti aspek perundangan dan ganti rugi, sekiranya pembinaan jambatan baru diteruskan.

``Saya berharap sangat ketua-ketua Pemuda negeri bawa turun ke bawah, cerita kepada pemuda-pemuda, apa yang diperjelaskan tentang keputusan Jemaah Menteri supaya tidak ada mana-mana pihak lain yang akan membawa cerita-cerita lain,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di Menara Dato' Onn, di sini hari ini.

Dalam mesyuarat itu, Hishammuddin berkata, beliau telah memberi penjelasan serta penerangan kepada semua pimpinan muda berhubung keputusan kerajaan membatalkan pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor. Katanya, Pemuda UMNO meletakkan kegagalan pembinaan jambatan tersebut, di atas bahu Singapura yang terlalu mementingkan diri sendiri dengan meletakkan pelbagai syarat seperti penjualan pasir dan penggunaan ruang udara yang secara total ditolak oleh rakyat negara ini.

Mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kecewa dengan pembatalan tersebut, Hishammuddin berkata, Pemuda UMNO menghormati apa sahaja pandangan yang disuarakan oleh bekas pemimpin negara itu.

PASTIKAN CALON PEMUDA MENANG BESAR

ASAJAYA 9 Mei - Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengarahkan jentera pergerakan pemuda parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri bekerja keras sepanjang tempoh berkempen, bagi memastikan calon-calon BN terutama Pemuda menang dengan majoriti besar.
Beliau yang juga Pengerusi Pergerakan Pemuda BN Pusat berkata, jentera pemuda BN perlu menemui pengundi di kawasan masing-masing bagi menarik sokongan mereka.
``Kita harus bekerja kuat bagi memastikan calon-calon BN terutama Pemuda menang majoriti besar,'' katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon bagi kawasan Asajaya di Pejabat Daerah Asajaya/Sadongjaya, di sini hari ni. BN menyenaraikan tujuh calon Pemuda untuk bertanding pada pilihan raya Sarawak kali ini, terdiri daripada empat calon Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak (PBB) dan tiga dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) .
Calon Pemuda dari PBB ialah Dr. Abdul Rahman Junaidi yang bertanding di kawasan Pantai Damai; Datuk Abd. Karim Rahman Hamzah di Asajaya; Robert Lawson Chuat di kawasan Bukit Saban dan Dr. Abdul Rahman Ismail di Bukit Kota. Sementara itu, PRS menurunkan Snowdan Lawan di Balai Ringin; Mong a/k Dagang di Bukit Begunan dan Larry Soon @Larry Sng Wei Shien di Pelagus.
Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran sebelum itu menyertai kira-kira 1,000 penyokong BN mengiringi Abd. Karim ke pusat penamaan calon bagi Asajaya di Pejabat Daerah Asajaya/Sadongjaya. Abd. Karim yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mosidi Sait.

Friday, March 31, 2006

Sembrong Jumaat 31 Mac 2006

Jadikan Sembrong kawasan dinamik

Sembrong bukanlah nama asing bagi masyarakat di daerah Kluang tetapi di mata masyarakat umum di luar Johor, nama tersebut tidak begitu popular. Namun apabila nama Sembrong disebut-sebut sebagai kawasan Parlimen hasil daripada persempadanan semula kawasan pilihan raya kali ke-11, maka nama Sembrong menjadi terkenal disebabkan keunikan kawasan dan berpotensi untuk dimajukan.

Jika ditinjau nama Sembrong, ia mengambil nama sebatang Sungai Sembrong yang merentasi kawasan Kahang dan Paloh di daerah Kluang.

Parlimen Sembrong (P.153) merupakan kawasan persempadanan baru yang meliputi dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Paloh (N.30) dan Kahang (N.31) di utara daerah Kluang, Johor.

Parlimen Sembrong bersempadan dengan Parlimen Ayer Hitam, Parlimen Labis, Parlimen Kluang, Parlimen Mersing dan Parlimen Kota Tinggi. Sebelum ini DUN Kahang termasuk di bawah Parlimen Tenggara dan DUN Paloh termasuk di dalam Parlimen Kluang.

Parlimen Sembrong mempunyai hampir 90 peratus tanah pertanian dan tanah hutan rizab Labis manakala selebihnya adalah penempatan penduduk. Oleh itu, sebahagian besar daripada masyarakatnya iaitu hampir 90 peratus bekerja di sektor pertanian iaitu tanaman kelapa sawit seperti di Felda, estet dan tanah kampung.

Atas keunikan kawasan ini, Sembrong telah menempah nama sebagai salah satu kerusi Parlimen Malaysia. Maka sudah sampai saat dan ketikanya kawasan ini dimajukan ke arah yang lebih positif dengan meletakkan agenda pembangunan sebagai wadah utama untuk memajukan masyarakat luar bandar.

Harapan dan cita-cita besar masyarakat pelbagai bangsa, ingin melihat kawasan ini dimajukan dengan menyediakan sebuah kawasan industri dan menarik pelabur di kawasan ini. Dengan majunya kawasan ini secara langsung akan membuka peluang-peluang pekerjaan kepada generasi muda yang mahu berkhidmat di kampung halaman masing-masing.

Senario yang ada sekarang seperti di mukim Niyor, kelihatan kebanyakan rumah-rumah ladang yang didiami oleh pekerja ladang tidak berpenghuni disebabkan kurangnya daya tarikan untuk bekerja di ladang yang tidak menjanjikan pulangan ekonomi lumayan jika dibandingkan pekerjaan di bandar.

Jika dilihat pada kawasan Parlimen Sembrong, maka ia mempunyai keistimewaan tersendiri. Yang pastinya kawasan ini mempunyai hutan simpan yang kaya dengan biodiversiti dan khazanah hutan.

Masa depan Parlimen Sembrong perlu dijanakan bagi memperoleh manfaat yang tidak ternilai harganya kepada masyarakat luar bandar. Oleh itu, agenda pembangunan masyarakat di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) bukanlah retorik atau kosmetik kempen politik semata-mata tetapi lebih sebagai tanggungjawab sosial dalam memastikan pembangunan dapat dilaksanakan selaras dengan tuntutan agama yang mahu melihat umatnya hidup bahagia di dunia dan akhirat.

Data statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikemaskinikan 30 September 2003 menunjukkan bahawa jumlah pengundi di Parlimen Sembrong ialah 30,395 orang. Komposisi kaum, Melayu/Bumiputera merangkumi seramai 15,366 orang (50.54 peratus), pengundi Cina seramai 11,870 orang (39.05 peratus), pengundi India seramai 3,099 orang (10.20 peratus) dan lain- lain seramai 60 orang (0.20 peratus).

Dengan kepelbagaian komposisi kaum ini, maka cabaran buat Datuk Hishammuddin Tun Hussein selaku Ketua Penaja UMNO Bahagian Sembrong adalah agak besar, khususnya dalam memastikan perpaduan, keharmonian dan kemakmuran kaum terus kekal di kalangan penduduk Sembrong.

Seluruh masyarakat meletakkan harapan yang tinggi agar kerajaan BN memenangi pilihan raya umum kali ini dengan majoriti yang besar, khususnya di Parlimen Sembrong.

Mengikut pandangan daripada penghulu mukim Niyor, Rosli Ithnin menyatakan bahawa mukim ini berkeluasan tanah 24,469.60 hektar dan jauh dari bandar Kluang sejauh 12 km dengan jumlah penduduk dianggarkan 8,000 orang pada tahun 2003.

Mukim ini diletakkan di bawah DUN Paloh dalam Parlimen Sembrong. Di dalam mukim ini terdapat beberapa kampung iaitu Kampung Melayu Niyor, Kampung Baru Niyor, Kampung Melayu SGA Chamek, Kampung Melayu Chamek, Kampung GSA Chamek (India), Kampung Belia Chamek, Kampung Peradong dan Kampung Degong.

Di samping itu terdapat penduduk di rumah ladang iaitu Ladang Talisam, Ladang Kebun Baru, Ladang Chein Bee, Ladang Ulu Paloh CEP, Ladang Niyor CEP, Ladang Chamek, Ladang Kekayaan, Ladang Tertinggi, Ladang Makmor, Ladang Tereh Utara dan Ladang Tereh Selatan.

Dengan meletakkan harapan yang tinggi, Rosli ingin melihat kawasan ini dibangunkan seperti menyediakan kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) bagi menarik generasi muda untuk balik ke kampung.

Beliau juga mahukan rakyat berfikir secara positif untuk memilih kerajaan yang mampu dan bertanggungjawab kepada rakyat dan membuktikan jasanya kepada rakyat dan memberi peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat.

Khamis 30 Mac 2006

Salam Hormat Pengundi Parlimen Sembrong
Kearah memperkasakan lagi perkhidmatan kepada pengundi di Parlimen Sembrong selaras dengan motto Barisan Nasional BERKHIDMAT UNTUK RAKYAT, saya melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Sembrong mengambil pendekatan memperkenalkan Laman Web Rasmi Ahli Parlimen Sembrong.
Pendekatan ini selaras dengan perkembangan dunia IT di negara ini yang mana kita semua masih boleh terus berhubung dan berkomunikasi meskipun tanpa bertemu wajah. Melalui Laman Web ini saya cuba sedaya mungkin untuk meletakan diri saya "BERSEDIA DAN BERKHIDMAT" selama 24 jam sehari dan 365 hari setahun malah sepanjang tahun untuk mendengar dan menerima segala persoalan khusus dan khas di kawasan Parlimen Sembrong.
Laman Web ini adalah pelengkap kepada beberapa sistem dan kaedah semulajadi yang sedia ada dalam sistem perhubungan antara pemimpin dan rakyat. Harapan saya agar seluruh pengundi Parlimen Sembrong dan sesiapa sahaja yang terpanggil untuk sama-sama MEMBANGUN DAN MEMPERKASAKAN Parlimen Sembrong menggunakan ruang dan peluang ini untuk berhubung.
Melalui ruang LAPOR TERUS...EMAIL dan CADANGAN DAN PANDANGAN diharap apa sahaja yang berlaku yang memerlukan Ahli Parlimen sebagai pengantara dapat diangkat untuk pengetahuan saya. Sekiranya ada yang terlepas pandang dan memerlukan penyelesaian, maka ruang ini haruslah dimanfaatkan sepenuhmya.
Akhir sekali, saya adalah wakil kepada rakyat yang dipilih oleh rakyat. Walaupun kita tidor ditilam yang berbeza biarlah kita bermimpi yang sama kearah menjadikan Parlimen Sembrong SELESA dan SELAMAT untuk kita semua.
Terima Kasih dan Salam Perjuangan
Dato' Sri Hishammuddin Tun Hussein